Pada tahun ini, Fatehah berada dalam kelas tersendiri apabila muncul atlet berbasikal negara paling berjaya dalam sejarah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas meraih empat pingat emas dalam satu temasya sekali gus menjadi watak penting untuk skuad berbasikal trek meraih 13 emas keseluruhan.

Ratu pecut Asia Tenggara itu yang kini menjalani latihan pusat di Melbourne, Australia mengakui dia sangat terkejut dengan penghargaan yang diberikan, namun sedikit kecewa kerana tidak dapat pulang ke Malaysia untuk menerima anugerah berprestij itu.

Bagaimanapun, Fatehah ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan akui de­ngan penghargaan tersebut mampu meningkatkan semangatnya serta rakan sepasukan untuk terus berusaha memburu kejayaan demi nama Malaysia.

“Anugerah dan kejayaan ini akan terus membakar semangat untuk berjaya selepas ini dan harapan saya untuk hadiahkan medal untuk Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo, Jepun 2020 nanti.

“Usaha saya tidak terhenti pada Sukan SEA, malah akan buru banyak kejayaan selepas ini sebelum saya membuat keputusan untuk menggantung basikal.

“Sasaran terdekat saya adalah untuk meraih pi­ngat di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018, kejohanan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur (Februari). Seterusnya saya akan fokus pada perlumbaan dunia dan Sukan Komanwel pada April 2018,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Welson turut mencuri tumpuan di KL2017 apabila berjaya meraih dua pingat emas menerusi kategori 400 meter (m) gaya bebas dan 200m gaya bebas.

Selain itu, perenang berusia 20 tahun itu turut memecahkan rekodnya sendiri di Sukan SEA apabila mencatat 3 minit 50.26 saat (s) dalam acara 400m gaya bebas di pusat Akuatik Nasio­nal, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, catatan itu masih belum berjaya memperbaharui rekod terbaik peribadinya yang dilakukan ketika beraksi di Siri Jelajah Mare Nostrum di Monaco ketika menewaskan juara Sukan Olimpik Rio 2016, Mack Horton 3:49.48s Jun lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengakui dia sangat berpuas hati kerana usahanya selama ini dengan berlatih bersungguh-sungguh dapat memberikan hasil yang terbaik dan anugerah tersebut mampu meningkatkan semangatnya untuk memburu banyak kejayaan.

“Terima kasih kepada MOM kerana sentiasa mempercayai kebolehan saya untuk berada di pentas ini dan anugerah ini sangat bermakna kerana saya telah ber­usaha untuk meraih kejayaan setiap pertandingan.

“Saya sangat terharu ke­rana diberi pengiktirafan ini. Tugas masih belum selesai kerana masih terdapat kejohanan besar untuk saya tempuhi,” katanya.

Sementara itu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut meraih Anugerah Olimpian bagi tahun 2016 selepas kecemerlangannya beraksi di pentas Olimpik Rio Brazil.

Selain itu, atlet terjun negara, Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong turut dinobatkan sebagai Olimpian Wanita 2016.

Sementara itu, anugerah tersebut disampaikan Pre­siden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan setiap pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat.