Baddrol yang beraksi dalam ke­semua perlawanan peringkat Kumpulan E termasuk ketika tewas kepada Bahrain percaya skuad negara mempunyai kualiti untuk menewaskan skuad Samurai Biru itu.

Sebagai rekod, Malaysia minggu lalu mencipta kejutan dengan menewaskan pemenang pingat emas edisi 2014, Korea Selatan 2-1 untuk muncul juara kumpulan.

“Secara peribadi, saya tidak akan memandang rendah pasukan Jepun. Walaupun mereka masih muda tetapi pasukan itu telah lama dibentuk dan sudah tentu ia memberi kelebihan pada aspek persefahaman dan keserasian pemain.

“Kami berkesempatan untuk melihat aksi mereka menentang Vietnam minggu lalu dan saya berpandangan Jepun merupakan pasukan yang mempunyai sema­ngat juang tinggi selain kelebihan pertahanan yang cukup mantap,” katanya.

Ketua pasukan Kedah itu turut percaya peluang kedua-dua pasukan seimbang tetapi dengan syarat barisan pemain perlu menyudahkan peluang terhidang sebaik mungkin selain elakkan kesilapan mudah.

“Pasukan sudah tentu menyasarkan kemenangan dan barisan pemain perlu bijak mengintai ruang dan peluang serta menggunakan kelemahan mereka untuk mence­rahkan peluang ke suku akhir.

“Saya harap rakan-rakan sepasukan mampu melakar satu lagi sejarah kerana jika kita boleh menewaskan Korea Selatan, sudah tentu ada peluang untuk menundukkan Jepun,” ujar Baddrol.