WAN ZACK mahu beraksi cemerlang bersama Selangor agar membolehkannya disenaraikan semula dalam skuad Harimau Malaya musim ini.

Sebagai rekod, Wan Zack merupakan salah seorang nama besar yang ditandatangani untuk menyarung jersi Merah Kuning kendalian jurulatih, B. Sathianathan musim ini.

Bekas pemain Felda United itu percaya, beraksi bersama skuad Gergasi Merah membolehkannya mudah untuk berada dalam radar Harimau Malaya selepas terlepas kempen Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini.

“Saya sangat gembira dapat bersama Selangor musim 2019 kerana peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga skuad ini sememangnya sukar untuk dilepaskan.

“Ini kerana, semua tahu sejarah dan status Selangor sebagai salah sebuah pasukan gergasi yang memiliki aura tersendiri pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Apa yang pasti, sasaran saya musim ini adalah untuk kekal cergas dan segera merebut tempat dalam kesebelasan utama supaya peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya semakin cerah,” katanya.

Kali terakhir pemain berusia 27 tahun dipanggil untuk mewakili skuad negara adalah pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A menentang Fiji pada Julai tahun lalu.

Selain Wan Zack, Selangor yang kini memasuki era revolusi baharu turut menandatangani beberapa nama besar seperti Syazwan Zainon, Nurridzuan Abu Hassan, Faiz Nasir dan Farizal Harun.