Pelumba kelahiran Muar, Johor itu menjelaskan, kutipan mata untuk kejohanan terbesar di dunia itu hanya ditawarkan pada tiga kejohanan iaitu Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC), Piala Dunia serta Kejuaraan Dunia yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Justeru katanya, para peminat tidak perlu bimbang dengan keadaannya yang gagal mencatatkan keputusan baik pada perlumbaan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

“Saya tidak mencatatkan keputusan baik pada perlumbaan berbasikal trek Asia Tenggara minggu lalu kerana demam. Sepanjang beraksi, saya muntah sebanyak lima kali dan terpaksa berkayuh dengan perut kosong.

“Walaupun tidak sihat, saya tetap mengambil bahagian kerana saya anggap perlawanan itu sebagai latihan. Saya tidak kisah menang atau kalah kerana mata yang dipungut oleh saya sudah cukup untuk melayakkan saya ke kejohanan Piala Dunia.

“Ramai peminat bimbang dengan situasi ini dan menganggap setiap kejohanan berstatus Grand Prix atau kebangsaan menyumbang mata ke Olimpik sedangkan hakikatnya ia tidak benar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), kelayakan para pelumba beraksi pada Kejuaraan Berbasikal Dunia diambil menerusi mata yang dikutip pada perlumbaan bersiri Piala Dunia manakala bagi Olimpik, mata pelumba dikira menerusi penyertaan mereka pada ACC, Piala Dunia dan Kejuaraan Dunia.

Setakat ini pelumba berusia 24 tahun itu mengesahkan bahawa pasukan negara sudah melayakkan diri ke Olimpik bagi acara keirin, namun perlu berusaha kekal di ranking enam bagi menjamin slot pada acara pecut.

“Sebenarnya laman web UCI mengenai kedudukan dunia hanya sebagai garis panduan untuk menentukan sama ada kita layak untuk kejohanan Berbasikal Piala Dunia dan Kejuaraan Berbasikal Dunia. Kedudukan bagi Sukan Olimpik diambil berdasarkan negara dan bukan secara individu.

“Bagi acara pecut, jika kita buang semua negara yang sudah layak ke Olimpik, Malaysia menghuni kedudukan keenam. Jadi, kita perlu mengutip mata pada ACC, Piala Dunia serta Kejuaraan Dunia untuk kita menghuni kedudukan keenam atau lebih tinggi.

“Selain itu, negara yang layak meraih slot pada acara keirin secara automatik dapat beraksi pada acara pecut dan begitulah sebaliknya,” katanya.