Sebagai rekod, jaguh muda kelahiran Sepanyol itu hanya mengutip 14 mata dalam tiga perlumbaan sebelum ini dan berada di kedudukan ke-12 keseluruhan meskipun telah dibekalkan jentera yang berkualiti daripada Yamaha.

Situasinya semakin buruk apabila rakan sepasukan, Valentino Rossi berjaya membuktikan keupayaannya meskipun digelar pelumba veteran selepas mengutip 37 mata dalam tiga perlumbaan.

Bagaimanapun, Vinales percaya GP Sepanyol adalah detik terbaik untuk dirinya mempamer kebangkitan, sekali gus menggunakan keupayaan jentera Yamaha M1 di tahap optimum.

“Saya akui musim ini tidak berlaku seperti yang diharapkan dengan beberapa keputusan gagal berpihak kepada saya. Namun, masih ada beberapa aspek yang positif boleh saya ambil dan pada masa yang sama saya akui perlu lebih konsisten.

“Saya percaya dengan keupayaan jentera Yamaha yang memiliki pakej lengkap untuk menjuarai mana-mana perlumbaan. Cuma, saya perlu elak daripada mengulangi kesilapan yang sama dalam perlumbaan.

“Apa yang pasti, saya memiliki keyakinan tinggi untuk pamerkan aksi cemerlang di GP Sepanyol dan saya harap tuah berlumba di tanah air sendiri dapat membuka ruang dalam misi meraih slot podium buat pertama kali musim ini,” katanya. – Agensi