Pemain pertahanan tengah Belanda itu merupakan aset pen­ting buat The Reds dan dia masih belum terlepas sebarang perlawanan EPL musim ini de­ngan kali terakhir tidak diturunkan pada Ja­nuari tahun lalu.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mungkin terpaksa beraksi tanpa Van Dijk, 27, buat kali pertama selepas dia dilaporkan masih belum kembali menjalani latihan di Melwood kerana mengalami demam sewaktu kem latihan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

“Ramai pemain saya tidak sihat disebabkan perubahan cuaca tetapi ia adalah perkara biasa. Saya tidak terlalu risau mengenai perkara ini,” kata Klopp.

Van Dijk akan menjalani ujian kecergasan pada sesi latihan terakhir sebelum Klopp memutuskan untuk menyenaraikan nama bekas pemain Southampton itu dalam kesebelasan utama pada aksi awal pagi esok.

Jika Van Dijk disahkan tidak cergas, Klopp mungkin menggunakan khidmat Dejan Lovren untuk bergandingan dengan Joel Matip di bahagian pertahanan tengah skuad bimbingannya.

Sementara itu, Fabinho kembali menjalani latihan selepas pulih daripada demam dan berkemungkinan besar akan beraksi sebagai bek kanan mengisi kekosongan Trent ­Alexander-Arnold yang mengalami kecederaan. 
– Agensi