Angin kencang telah memaksa para pelumba bertahan dalam kelompok besar sebelum melakukan pemecahan pada akhir 35 kilometer (km) pada saingan sejauh 217.5km dari Saint-Flour ke Albi itu.

Van Aert yang merupakan juara dunia dalam acara berbasikal merentas desa, membuat penampilan sulungnya dalam Tour de France selepas memenangi dua peringkat perlumbaan di Criterium du Dauphine pada Jun lepas.

“Saya minta maaf, saya tidak percaya dapat memenangi satu peringkat perlumbaan di Tour de France. Ia satu pencapaian yang sangat hebat. Saya mula mendapat rentak dalam kejohanan ini selepas 10 hari.

“Memenanginya buat kali pertama adalah amat menakjubkan. Saya agak gementar apabila memasuki kilometer terakhir. Mujurlah saya kekal bersama rakan sepasukan (Steven Kruijswijk dan Dylan Groenewegen).

“Namun, persaingan sebenar adalah ketika menuju ke 250m terakhir di mana saya berjaya mengatasi (Elia) Viviani hanya beberapa inci sahaja. Apa pun ia sudah cukup asalkan saya dapat memenanginya,” jelasnya.

Sementara itu, juara bertahan, Geraint Thomas melintasi penamat dalam kelompok utama, namun pelumba Perancis, Thibaut Pinot dan beberapa pelumba pilihan lain jauh ketinggalan serta kehilangan banyak masa.

Thomas kini melonjak ke kedudukan kedua senarai pelumba keseluruhan dengan 1 minit 12 saat di belakang Alaphilippe manakala rakan sepasukan, Egan Bernal di tempat ketiga. – AFP