Turun dengan harapan  tinggi untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama setahun, beregu negara itu bagaimanapun ditunjukkan jalan keluar oleh beregu bukan pilihan dari Indonesia,  Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 22-24, 13-21.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu memulakan saingan dengan baik apabila memenangi set pertama 21-14 namun mensia-siakan peluang ketika sedang mendahului perlawanan 18-13 pada set kedua sehingga memberikan kemenangan kepada pihak lawan dengan 24-22.

Aksi V Shem-Wee Kiong terus hambar di set penentuan apabila kalah 21-13.

Wee Kiong, ketika ditemui pemberita, mengakui banyak melakukan kesilapan yang tidak seharusnya dilakukan pada set kedua yang menyebabkan motivas mereka menurun pada set penentuan. 

"Mereka (pihak lawan) menukar corak permainan ketika kami sedang mendahului 18-13 dan kami lambat bertindak untuk mematikan serangan mereka. 

"Mereka juga bermain lebih pantas dan menyebakan kami lambat bertindak. Kita mengambil pengajaran dengan kesilapan hari ini supaya tidak mengulanginya pada kejohanan akan datang," katanya selepas perlawanan.

Sebelum ini, V Shem-Wee Kiong layak ke separuh akhir di Thailand Masters minggu lepas dan akan beraksi di Indonesia Masters, bermula Selasa.
Kali terakhir mereka muncul juara adalah pada Siri Super Akhir 2016 di Dubai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta kedua-dua pemain itu segera memulihkan komunikasi antara mereka berdua untuk mengembalikan semula pencapaian gemilang mereka seperti pada tahun 2016.

"Hari ini saya lihat mereka bercakap, walaupun masih kurang tetapi ada perubahan yang positif," katanya selepas perlawanan itu.

 Mohd Norza berkata walaupun kedua pemain itu masih memerlukan masa untuk memperbaiki komunikasi antara mereka namun mereka telah menunjukkan prestasi yang terpuji dalam dua kejohanan awal tahun ini.

"Saya berharap mereka terus meningkatkan prestasi dan memperbaiki hubungan antara mereka," katanya. - Bernama