Bekas beregu No.l dunia itu melangkah ke perlawanan akhir kejohanan badminton Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil selepas mudah menewaskan gandingan Taiwan, Hung Ling-Chi Lin 21-16, 21-17 malam tadi.

Wee Kiong menegaskan, mereka enggan terlalu memikirkan tentang perkara itu (mara ke final) memandangkan mereka bersedia untuk mengekalkan fokus pada perlawanan akhir hari ini.

“Kali terakhir kami melangkah ke perlawanan akhir adalah Siri Super Final di Dubai tetapi saya enggan terlalu memikirkan perkara itu. Kami hanya mahu fokus memandangkan ia perlawanan akhir.

“Harapan saya pada ketika ini adalah untuk teruskan aksi seperti ini sekali gus kembali ke prestasi terbaik kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir malam tadi.

Mengulas mengenai aksi final menentang beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto hari ini, Wee Kiong mengakui gandingan itu tidak boleh dipandang remeh meskipun turun sebagai beregu No.3 Indonesia.

“Bagi saya, mereka adalah gandingan hebat kerana standard tidak banyak beza walaupun mereka beregu ketiga. Kami hanya mahu kekalkan aksi seperti hari ini (semalam),” tambahnya.

Sementara itu, V Shem berharap mereka mampu kembali ke puncak prestasi seperti ketika memenangi pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Hari ini (semalam) kami bermain bagus dengan tempo yang cukup baik. Diharapkan mampu dapat kekalkan rentak seperti ini pada final esok (hari ini). Saya harap kami boleh menjadi lebih baik dan kembali seperti tahun 2016,” ujar V Shem.