Bekas beregu No.1 dunia itu muncul juara kebangsaan 2018 apabila membenam cabaran gandingan profesional, Mohd. Arif Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub menerusi aksi tiga set 21-17, 19-21, 21-15.

Justeru, Wee Kiong me­ngakui kejohanan kebangsaan merupakan medan terbaik untuk mereka memperbaiki mana-mana kelemahan selain sebagai persiapan bagi meng­hadapi dua kejohanan di Eropah yang bermula hari ini dan minggu depan.

“Saya gembira apabila bertemu gandingan seperti mereka (Arif-Azriyn) pada perlawanan akhir kerana mereka memberi tentangan sengit selain membolehkan kami mencuba corak permainan serta strategi baharu,” katanya.

Selain itu, Wee Kiong juga memasang impian untuk memperbaiki pencapaian di All England pada tahun lalu apabila mereka tersingkir di peringkat suku akhir kepada beregu China, Li Junhui-Liu Yuchen 19-21, 21-17, 19-21.

Bagaimanapun, Wee Kiong menegaskan mereka tidak boleh terburu-buru, sebaliknya perlu fokus pada Terbuka Jerman terlebih dahulu.

“Saya harap kami mampu tingkatkan prestasi sebelum ke Eropah. Harapan kami adalah untuk catat keputusan lebih baik di All England, namun kami perlu fokus pada Terbuka Jerman dahulu,” tambahnya.

V Shem-Wee Kiong kembali digandingkan Disember lalu, selepas tiga bulan dipisahkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gara-gara aksi tidak konsisten sepanjang sai­ngan musim lalu.

Badan induk sukan badminton negara mengambil keputusan kembali menggandingkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Thomas, temasya Sukan Komanwel serta Sukan Asia.

Pada pusingan pertama Terbuka Jerman esok, V Shem-Wee Kiong bakal membuat perhitungan dengan pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.