Ashraf, 24, turut ditawarkan permulaan gaji €1,000 (RM4,749) sebulan serta bonus kemenangan selain kemudahan lain seperti tempat tinggal dan pengangkutan sepanjang beraksi pada saingan Liga Divisyen Dua Sepanyol selepas ini.

Pemenang tiga pingat gangsa berpasukan lelaki pada tiga Sukan SEA berturut-turut dari 2013 hingga 2017 itu berharap penghijrahannya ke Sepanyol dapat meningkatkan mutu permainannya selain mahu memartabatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Mula-mula saya cuba nasib menghantar resume kepada beberapa kelab di sana. Tiba-tiba kelab ini (Natacio Sabadell) berminat dan mahu saya bermain dengan mereka selama satu musim.

“Satu musim bersamaan enam bulan. Saya mahu mencuba tiga bulan dahulu, kalau segalanya tiada masalah, saya akan sambung lagi tiga bulan. Saya anggap ini satu cabaran baharu dalam karier saya.

“Sudah lama saya berhajat untuk bermain di luar negara kerana proses peningkatan memang cepat. Latihan di sana bagus dengan liga berkualiti serta fasiliti yang baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ashraf hanya menanti pengesahan visa dan beberapa dokumen berkaitan yang sudah siap hampir 80 peratus sebelum berlepas ke Sepanyol pada September depan.

Atlet dari Yan, Kedah itu kini mengikut jejak bekas pemain ping pong negara, Chan Koon Wah yang pernah berkelana ke Sepanyol sebelum ini.