Selepas meraih gelaran trebel dengan merangkul trofi berprestij di Eropah itu pada aksi di Camp Nou kira-kira dua dekad lalu, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer pas­tinya mahu memori indah tersebut berulang kembali.

United tewas 0-1 pada aksi suku akhir pertama di Old Trafford tetapi mereka bangkit menerusi kemenangan 2-1 menewaskan West Ham United pada aksi Liga Perdana England Sabtu lalu.

Pogba muncul wira pada aksi menentang West Ham apabila meledak dua gol menerusi sepakan penalti dan mereka sekali lagi berikrar untuk merebahkan gergasi Sepanyol itu di laman sendiri.

“Saya fikir apa yang paling utama adalah meraih tiga mata ketika menentang West Ham.

“Kami sedar mengenai pentingnya meraih tiga mata. Kami mahu memberikan aksi yang lebih baik dan menjaringkan lebih banyak gol tetapi mungkin kami layak untuk menerima keputusan itu.

“Sekarang ini apa yang perlu difikirkan ialah perlawanan berikutnya. Kami perlu berehat dan fokus aksi menentang Barcelona.

“Peringkat suku akhir ini sangat bermakna buat kami kerana itulah sebab kami bermain bola sepak. Bertemu pasukan yang hebat dan lebih baik membuatkan kami sangat teruja.

“Kami perlu kekal tenang dan menikmati perlawanan itu nanti selain memberikan yang terbaik,” kata Pogba.

Di atas kertas, United dijangka berdepan cabaran sengit aksi di Camp Nou ketika Barcelona cukup kebal mempertahankan kubu mereka sepanjang musim ini.

“Perlawanan ini belum tamat, peluang untuk kami masih ada.

“Saya tahu mereka ialah Barcelona. Kami perlu bermain di ge­langgang mereka tetapi kami masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan,” jelasnya. 
– Agensi