Marhan, 28, menegaskan, UniKL akan sekali lagi ‘mengunci’ kekuatan utama skuad juara bertahan itu menerusi pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat seperti sewaktu menang bergaya 4-1 pada separuh akhir pertama Ahad lalu.

Sehubungan itu, dia yang juga tonggak tengah skuad kebangsaan, berharap rakan-rakan sepasukannya dapat terus mengekalkan mentaliti kemenangan sambil meneruskan persembahan mantap seperti dilakukan sebelum ini.

“Salah satu sebab utama kejayaan kami ialah tidak memberikan ba­nyak pukulan sudut penalti kepada THT kerana kami tahu mereka mempunyai flicker hebat seperti Peil­lat dan Faizal Saari.

“Kami akan melakukan perkara yang sama. Namun, saya berharap para pemain tidak mengamalkan sikap sambil lewa kerana sudah menang besar 4-1 sebelum ini. Kami perlu anggap perlawanan masih 0-0 buat kedua-dua pasukan.

“Jika para pemain berfikiran sebegini dan terus menunjukkan menta­liti tinggi mahu menang, saya rasa tiada masalah untuk kami melangkah ke pentas final musim ini,” katanya.

UniKL yang dikendalikan Arul Selvaraj memperoleh empat gol menerusi Kieran Govers pada minit ke-13, Jeroen Hertzberger (m-32, m-48) dan Glenn Turner (m-41).

Gol tunggal THT kendalian Sarjit Singh pula diperoleh menerusi jaringan Joaquin Menini pada minit ke-51.

Satu lagi aksi separuh akhir kedua yang berlangsung hari ini antara Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB).