Walaupun seri 2-2 pada aksi timbal balik malam ini, UniKL mara ke final hasil kemenangan mengejut 4-1 ke atas THT pada perlawanan separuh akhir pertama di venue yang sama, 4 Februari lepas.

Pada aksi malam ini, UniKL mendahului 2-0 hasil jaringan pemain import dari Belanda, Jeroen Dolf Hertzberger seawal minit kedua perlawanan sebelum pemain import dari Australia, Glenn Stewarts Turner menggandakan kedudukan pada minit ke-23.

Pakar pukulan sudut penalti dari Argentina, Gonzalo Peillat, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan untuk THT pada minit ke-28 dan ke-54.
UniKL bakal membuat perhitungan dengan naib juara Liga Perdana, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Terdahulu, KLHC mara ke final setelah menang tipis 8-7 menerusi penentuan pukulan penalti ke atas pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung pada sebelah petang.

TNB yang mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas KLHC pada aksi separuh akhir pertama, 4 Feb lepas berada di hadapan hasil jaringan pemain kebangsaan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan seawal minit ke-11 perlawanan.

KLHC, bagaimanapun bangkit meledak tiga jaringan menerusi Thomas Carson pada minit ke-15, Jang Jonghyun (minit ke-24) dan Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-30 sebelum pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil berjaya mengurangkan defisit jaringan untuk TNB pada minit ke-38.

Pasukan TNB dan THT yang kalah pada saingan separuh akhir, akan berdepan sesama sendiri pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. - Bernama