Chong Wei mudah mara ke pusingan suku akhir apabila hanya mengambil masa 29 minit untuk menewaskan pemain berpengalaman, Lee Hyun Il dari Korea Selatan 21-7, 21-7 pada pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Dalam aksi terdahulu, Axelsen terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, 23-21, 19-21, 21-11 dalam satu lagi perlawanan  pusingan kedua.

Chong Wei berkata, beliau tetap berazam menambah koleksi kejuaraannya buat kali ke-12 terutamanya di halaman sendiri dan bersedia memberikan tentang sengit kepada Axelsen.

"Ramai bertanyakan kepada saya, kenapa masih mahu memenangi kejohanan ini sedangkan saya sudah menjuarainya sebanyak 11 kali, bagi saya Kejohanan Terbuka Malaysia sangat penting dan saya masih bersemangat untuk menang.

"Axelsen kini pemain nombor satu dunia, bagi saya tiada apa yang dirisaukan dan saya akan berikan tentangan sengit pada perlawanan esok. Terbuka Malaysia kali ini lebih berbeza, standard lebih tinggi berbanding dulu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Untuk rekod pertemuan, Chong Wei mempunyai kelebihan iaitu memenangi 10 perlawanan dalam 13 pertemuan dengan Axelsen. - Bernama