Presiden UiTM FC, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said percaya hasrat tersebut dapat direalisasikan dengan kehadiran tiga pemain import baharu skuad itu iaitu Adi Said, 29 dari Brunei, Robert Waly Lopez Mendy, 32, Senegal dan Agele Bernard Coulibally, 24 dari Uganda.

Beliau berkata, selain tiga pemain tersebut, seorang lagi pemain import dari Montenegro yang akan tiba dalam minggu ini bagi memperkuatkan pasukan UiTM FC.

"Tahun ini adalah tahun ketujuh kita bermain dalam kempen Liga Premier dan pelbagai kejayaan telah kita capai yang membolehkan kita berada pada kedudukan sekarang.

"Oleh itu, sasaran kita pada tahun ini adalah sekurang-kurangnya berada pada kedudukan empat teratas dalam kempen Liga Premier, pusingan akhir Piala FA dan memenangi Piala Fair Play.

"Bagi pasukan Piala Presiden pula, kita berharap mereka layak ke separuh akhir, manakala bagi skuad Piala Belia sasaran yang diletakkan kepada mereka adalah layak bermain pada pusingan kedua,"katanya selepas majlis memperkenalkan barisan pemain, kejurulatihan dan pegawai serta pelancaran jersi UiTM FC bagi musim 2019 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Tony Azman Hassan, Ketua Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria dan Pengurus Pasukan UiTM FC, Muztaza Ahmad.

Sementara itu, Ismail berkata pasukan berkenaan menampilkan lebih 50 peratus muka baharu bagi memperkuatkan barisan pemain musim ini.

"Kebanyakan pemain kita adalah pelajar UiTM sendiri. Seramai 10 pemain musim lalu dikekalkan dalam skuad musim ini dan selebihnya 19 orang lagi adalah muka baharu termasuk pemain import,"jelasnya.

UiTM FC akan memulakan kempen  Liga Premier 2019 pada Jumaat ini iaitu menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - K! ONLINE