Walaupun enggan mendabik dada di atas kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang, pasukan The Lion Troops yakin dapat mengekalkan momentum permainan pada aksi kedua menentang kelab Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Rabu depan.

Menurut ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, perlawanan pembukaan itu menunjukkan para pemain mampu menyerap segala tekanan ketika bertemu pa­sukan yang berpengalaman daripada utara tanah air itu.

Katanya, formasi 3-5-2 yang digunakan pada perlawanan tersebut membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengekang asakan pihak lawan dan bangkit ketika pasukan itu terikat dengan jaringan 1-1 pada separuh masa pertama.

“Kita menggunakan sepenuh­nya kelebihan beraksi di laman sendiri, pemain saya mampu menyerap semua asakan bertali-arus pihak lawan.

“Mereka sangat bersungguh-sungguh dalam perlawanan ini dan terus konsisten bertahan walaupun berdepan dengan pasukan yang berpengalaman,”katanya.

Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Sadam Hashim sebelum Ken Ilso Larsen menyamakan kedudukan buat Pulau Pinang.

Skuad UiTM kemudian bangkit menerusi dua gol hasil sentuhan Lucas Ramon dan Bakary Doe.

Sementara itu, ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan mengakui pasukan UiTM bukan lawan mudah dan banyak kelemahan serta kesilapan pada perlawanan pertama itu harus diperbaiki.

“Saya amat kecewa dengan keputusan perlawanan ini, walaupun kita menguasai perlawanan pada separuh masa kedua dan berjaya mencari gol penyamaan tetapi usaha memburu gol kedua melekakan kita.

“Banyak kesilapan dan kelemahan pemain lakukan sehingga kita dihukum oleh pasukan lawan pada minit-minit terakhir perlawanan,” jelasnya.