Kejohanan yang memasuki edisi ke-14 itu berlangsung selama lima hari bermula 30 Julai lalu di UiTM Shah Alam.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, seramai 850 atlet dan pegawai dari 26 buah universiti yang mewakili 10 buah negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, China, Australia, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan.

Katanya, kehadiran beberapa universiti baharu seperti University of Huaqiao dari negara China dan universiti dari Australia memeriahkan UiSF pada edisi kali ini dengan Malaysia diwakili oleh UiTM.

"UiSF ini telah bermula pada tahun 2006 dan menariknya ia bukan sahaja menjalinkan kerjasama dalam bidang sukan, akan tetapi turut meliputi bidang akademik.

"Selain itu, tujuan penganjuran ini juga sebagai platform untuk melonjakkan nama UiTM di persada antarabangsa supaya 'orang luar' lebih mengenali UiTM," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian UiSF di Stadium Hoki UiTM Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Mohd. Nazip Suratman.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan sebanyak tujuh acara dipertandingkan antaranya futsal, badminton, bola keranjang, ragbi tujuh sebelah, tenpin bowling, tenis dan Ping Pong. - K! ONLINE