Juara bertahan musim lalu itu turun dengan aksi bertenaga apabila tidak membuka ruang kepada Joy Xuan untuk mengatur perlawanan pada set kedua.

Tzu Ying hanya memerlukan 23 minit untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia dengan keputusan straigt set 21-14, 21-13.

Hasil kemenangan tersebut, Tzu Ying dijadualkan berdepan pemain ranking ke-25 dunia, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand yang berjaya mengatasi Chloe Birch menerusi keputusan 21-10, 21-7.

Dalam pada itu, beregu wanita Jepun, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dipaksa bermandi peluh ketika berdepan pasangan dari China, Chen Lu-Xu Ya apabila tewas pada set pertama, namun pemegang pingat emas Olimpik Rio tersebut bangkit pada set kedua sebelum meraih kemenangan pada set ketiga dengan keputusan 16-21, 21-17, 21-15 dalam masa 58 minit.

Pasangan ranking ketiga dunia tersebut akan berdepan beregu dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Kim Hye Rin selepas berjaya mengatasi pasangan dari India, Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki dengan keputusan 22-20, 17-21, 22-20.

Sementara itu, pemain No. 1 dunia yang juga juara dunia dari Jepun, Kento Momota sedikit cemas ketika berdepan pemain Denmark, Jan O Jorgensen apabila tewas pada set pertama.

Bagaimanapun, Momota tidak berdepan sebarang tekanan sebelum bangkit meraih kemenangan dengan keputusan 20-22, 21-13 dan 21-11.

Momota dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga apabila berdepan Jonatan Christie selepas pemain Indonesia tersebut berjaya menyingkirkan, Brice Leverdez dari Perancis dengan keputusan 21-12, 21-12.