Bagaikan tiada saingan, atlet berusia 24 tahun tersebut kekal konsisten pada setiap terjunan dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki untuk menghasilkan keseluruhan 428.25 mata.

Catatan tersebut mengatasi penerjun Croatia, Hrvoje Brezovae (350.30 mata) yang meraih pingat perak diikuti atlet Singapura, Timothy Lee (320.85) dengan pingat gangsa.

Tze Liang mengakui membuat permohonan untuk bertanding pada kejohanan kali ini bagi memantapkan terjunan biarpun kebanyakan atlet senior lain sudah menutup musim mereka.

“Walaupun penyertaan kali ini tidak disertai ramai penerjun senior, namun saya tetap fokus pada setiap terjunan dan berpuas hati dengan aksi kali ini.

“Saya memohon untuk menyertai kejohanan ini bagi menambahkan pengalaman menjelang misi merebut slot ke Sukan Olimpik 2020 tahun depan,” katanya kepada pemberita semalam.

Malaysia mengutip satu lagi emas menerusi gandingan Loh Zhia Yi-Ong Ker Ying menerusi acara 3m papan anjal seirama wanita selepas tidak menerima saingan dari negara lain.

Dalam pada itu, Kimberly Bong terpaksa akur dengan pingat gangsa acara 10m platform individu wanita setelah tewas kepada pemenang pingat emas dari China, Xu Yuin dan pemegang pingat perak dari Australia, Laura Hingston.

Turut menerima nasib sama ialah gandingan muda Malaysia, Bertrand Rhodict Lises-Enrique M. Harold yang membawa pulang pingat gangsa acara 10m platform seirama lelaki.

Emas acara berkenaan dimenangi pasangan China, Duan Yu-Wang Ze Wei, manakala perak menjadi milik gandingan Australia, Brodie Scapens-Sam Fricker.