Beliau berharap Datuk Hamidin Mohd Amin yang menang tanpa bertanding jawatan itu pada Kongres FAM hari ini , dapat meneruskan usahanya untuk membentuk skuad kebangsaan yang berkualiti, yang menjadi permintaan penyokong tanah air.

"Semua sedia maklum bahawa pasukan-pasukan kebangsaan dah mula menunjukkan peningkatan. Skuad Datuk Ong Kim Swee (Bawah-23 tahun), Bojan Hodak (B-19) telah melakar kejayaan dan skuad Tan Cheng Hoe (Harimau Malaya) telah mula melakar kejayaan.

"Saya rasa benda itu bukan rahsia siapa yang melantik dan letak orang-orang itu di situ. Jadi harap presiden baharu dapat meneruskan momentum itu, terutamanya untuk skuad Harimau Malaya," katanya yang juga bekas presiden FAM  pada sidang media selepas Kongres FAM ke-54 di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap Hamidin dapat meningkatkan kerjasama di antara FAM dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) demi pembangunan bola sepak negara.

TMJ yang melepaskan jawatan Presiden FAM pada Mac lalu berkata, ketika kepimpinannya, pihaknya cuba untuk menjalinkan kerjasama yang rapat dengan PPBN, tetapi terdapat beberapa individu dalam program itu yang enggan  bekerjasama dengan Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo.

"Jadi apa yang kita boleh buat hanyalah memberikan pandangan, tetapi respon yang diterima adalah negatif. Ada beberapa kelemahan dalam PPBN seperti mereka tidak dapat bekerjasama dan menyediakan kemudahan kepada persatuan-persatuan di negeri yang terlibat untuk jalankan peranan mereka.

"Saya berharap FAM, Kementerian Belia dan Sukan, PPBN dan persatuan negeri dapat bekerjasa untuk perbaiki tahap bola sepak kita. Saya ada memaklumkan mengenai perkara ini kepada Menteri baharu (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) supaya ada kerjasama yang erat," katanya.

Tunku Ismail yang juga merupakan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia  (MFL), berkata MFL akan sentiasa bekerja rapat dengan anggota gabungan yang lain untuk kebaikan bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPBN, Safirul Azli Abu Bakar menjelaskan bahawa kerjasama diantara PPBN dan FAM, akan ditingkatkan terutamanya dari segi perancangan teknikal dan mencungkil  bakat.

 "Sebelum ini memang dah ada kerjasama, tetapi kita akan tingkatkan lagi  dari segi latihan teknikal. Mungkin terdapat kekangan di negeri kerana kemudahan yang kita beri asas sahaja, mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memperbaikinya.

"Di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) , semuanya mencukupi, di mana AMD boleh memuatkan sehingga 400 pelatih pada satu-satu masa. Tetapi kita hanya ada seramai 250 pelatih berumur di antara 13-17 tahun kerana meletakkan had 50 pelatih untuk setiap peringkat umur," katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, seramai 25,525 pelatih berumur di antara tujuh hingga 17 tahun berlatih di 46 Akademi Tunas, 62 Pusat Latihan Negeri, 14 sekolah sukan negeri, tiga sekolah sukan dan AMD berada di bawah PPBN. - Bernama