Perkara tersebut dijelaskan menerusi satu rakaman video berdurasi 4:17 minit yang dipaparkan oleh laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam.

Titah baginda, tiada azam khusus yang diletakkan selaku Presiden FAM tetapi baginda berhasrat untuk membantu pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk memperoleh dana sampingan bagi memastikan persaingan sihat boleh berlaku.

“Saya ialah presiden yang akan cuba mencari duit untuk pasukan supaya dapat bertanding tanpa bebanan, betulkan struktur dan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.

“Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak (akan kekal) lama.

“Saya akan lepaskan jawatan sebagai Presiden FAM mungkin pada 2018 atau 2019. Ia bergantung (keadaan) tetapi lebih cepat lebih baik,” katanya menerusi satu klip video tersebut semalam.

Tunku Ismail menerajui pucuk pimpinan bola sepak negara selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-53, Mac 2017 selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk menarik diri.

Sekiranya hasrat Tunku Ismail menjadi kenyataan, sudah tentu ia memberi cabaran besar buat FAM dan skuad Harimau Malaya khususnya yang sedang menuju ke arah revolusi baharu.

Beberapa perubahan positif yang telah dibawa oleh Tunku Ismail adalah mendapatkan penajaan bernilai RM104 juta daripada Ampersand Sports Sdn. Bhd. untuk menaja keseluruhan saingan Liga M.

Selain itu, baginda turut membantu syarikat antarabangsa dari Jepun, Yakult untuk menjadi penaja rasmi FAM tahun lalu.

Sementara itu, antara keputusan kontroversi yang pernah dibuat oleh Tunku Ismail adalah melantik pengendali import, Nelo Vingada selaku ketua jurulatih skuad negara tetapi gagal meraih sebarang kemenangan di pentas antarabangsa sebelum memilih untuk meletak jawatan Disember lepas.