Ini kali pertama Hafizh akan mengemudi jentera kelas perdana itu di Litar Americas, tambahan pula perlu beraksi arah lawan jam, sekali gus bakal memberi cabaran kepada pelumba kelahiran Ampang, Sela­ngor tersebut.

Hafizh melakukan kejutan pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan ketika GP Argentina baru-baru ini, sekali gus muncul sebagai pelumba rookie (baharu) terbaik.

“Hafizh telah melakukan yang terbaik apabila meraih mata pada perlumbaan kedua dan berjaya mengatasi pelumba yang berpengalaman di belakang.

“Bagaimanapun, perlumbaan di Texas adalah cabaran baharu buat dia apabila akan mengemudi jentera MotoGP di litar tersebut.

“Namun, saya akui Hafizh mempunyai semangat untuk terus berjuang bersama jentera YZR-M1 miliknya bagi meraih satu lagi keputusan yang cemerlang se­perti di Argentina,” katanya.

Pelumba MotoGP pertama negara itu membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan apabila kerja kerasnya bagi memahami karakter jentera Yamaha YZR-M1 sudah menampakkan hasil apabila muncul selaku rookie terbaik dan kelebihan tiga mata di hadapan juara Moto2, Franco Morbidelli.

Hafizh kini menjalani latihan motocross di Colin Edward, Te­xas untuk memantapkan stamina bersama pasukan Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin (Moto3) dan Zulfahmi Khairuddin (Moto2).

“Saya bangga dengan keputusan yang diraih ketika di Qatar dan Argentina. Kini saya sedang melakukan persiapan untuk perlumbaan seterusnya di AS. Saya sedang menjalani latihan di Co­lin Edwards untuk memastikan stamina dalam keadaan terbaik.

“Prestasi saya semakin me-ni­ng­­kat dan bersedia untuk menghadapi pusingan ketiga ini.

“Sudah pasti tak sabar untuk berjumpa dengan pasukan saya dan harapan cuma satu, ingin memberikan yang terbaik,” kata­nya.