Keyakinan Rizal itu hadir selepas menyaksikan 18 pasukan mengambil bahagian untuk kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) dan dua pasukan akan diserap ke liga utama negara.

LFK merupakan kejohanan tahunan futsal yang dianjurkan sejak 2004, namun formatnya mengalami perubahan termasuk mempunyai beberapa divi­syen dan pernah membabitkan 30 pasukan pada satu ketika.

Bagaimanapun, LFK dihentikan pada tahun 2016 sebelum disambung kembali tahun lalu di mana liga domestik itu hanya melibatkan sembilan pasukan selepas Sabah membuat keputusan untuk menarik diri.

Mengulas lanjut, Rizal, 37, mengakui FAM harus mengambil serius untuk memperkasakan futsal tempatan selepas menyaksikan prestasi positif skuad kebangsaan yang mara ke final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, final Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selain membuat penampilan di Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Taiwan, awal bulan ini.

“Futsal telah mula mendapat perhatian daripada peminat dan ia juga sukan popular sama seperti bola sepak. Saya menyokong penuh untuk mencadangkan LFK diangkat menjadi semipro. Namun, pada masa sama, saya fikir FAM sudah boleh mewujudkan dua liga dominan untuk futsal negara.

“Bagi kelayakan LFK 2018, ada 20 pasukan yang berdaftar dan 18 pasukan yang lulus tetapi hanya dua pasukan sahaja layak ke liga sebenar. Jadi, baki 16 pasukan bersamaan 320 pemain itu ke mana hala tuju mereka?

“Sambutan hangat ini menunjukkan respons positif dan ia juga akan memudahkan ketua jurulatih kebangsaan, Chiew Chun Yong memilih ramai pemain berpotensi tinggi.

“Pemain-pemain kebangsaan harus memiliki standard sekurang-kurang bermain 30 perlawanan dalam tempoh setahun. Apa yang penting liga harus berjalan selama setahun dan langkah naik taraf menjadi semipro.

“Kita boleh lihat bola sepak negara kita bermula dengan semipro sebelum menjadi profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad, semalam.

Dalam perkembangan sama, bekas jurulatih futsal T-Team itu juga percaya FAM tidak akan berdepan masalah untuk mewujudkan dua divisyen liga semipro futsal dalam misi mengangkat sukan itu bersaing dengan negara-negara gergasi lain antaranya Thailand dan Uzbekistan.

“Saya pasti jika cadangan menaik taraf LFK menjadi semipro dan memiliki dua liga utama iaitu sama seperti Liga Super dan Liga Premier, perancangan perlu diadakan lebih teratur.

“Perancangan untuk sekurang-kurangnya dua musim perlu dilakukan bagi membantu pasukan-pasukan yang bertanding membuat persiapan dari segi operasi, penajaan dan menjamin kontrak pemain yang lebih efektif.

“Saya pasti FAM yang sudah ada pengalaman mengendalikan bola sepak, tidak akan berdepan masalah untuk mewujudkan dua liga utama LFK dan harus diingat kekuatan liga akan memberikan banyak manfaat kepada pasukan kebangsaan,” ujarnya.