Pada perlawanan akhir tersebut, pemain berusia 36 tahun itu meleburkan harapan pemain No. 1 dunia dari India, K. Srikanth menerusi aksi tiga set yang cukup mendebarkan 19-21, 21-14, 21-14.

Pingat emas itu juga menjadi penamat cemerlang buat Chong Wei selepas pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik tersebut mengakui edisi kali ini merupakan Sukan Komanwel terakhir baginya.

Kata Chong Wei, dia langsung tidak menyangka mampu menyum­bang pingat emas buat kontinjen Malaysia memandang­kan sudah tewas pada set pertama kepada pemain No. 1 dunia itu.

“Sebenarnya, saya tidak sangka untuk menang emas kerana sudah tewas pada set pertama. Bagaimanapun, saya berjaya bangkit pada set kedua dan ketiga walaupun berdepan tekanan yang sangat tinggi.

“Detik kebangkitan adalah pada set kedua yang mana saya menang ke atasnya. Kemudian, saya berjaya mendahului 5-0 pada set ketiga dan dari situlah keyakinan semakin tinggi untuk tewaskan dia,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Memandangkan sudah tewas kepada lawan sama dalam sai­ngan berpasukan campuran, bekas pemain No. 1 dunia itu melakukan persiapan yang cukup rapi selain menganalisis corak permainan Srikanth.

“Semalam (kelmarin) saya sudah bincang dengan jurulatih serta kaji corak permainannya dan ia membuahkan hasil. Saya sangat gembira kerana mampu sumbang pingat emas kepada negara pada penampilan ter­akhir dalam Sukan Komanwel.

“Bermain pada usia begini memang penat tetapi selagi mampu, saya akan terus menggalas tanggungjawab negara. Walaupun pencapaian skuad badminton kurang baik tetapi semua pemain sudah memberikan segala-galanya,” tambah­nya.

Sebagai rekod, Chong Wei melakukan lima penampilan pada temasya sukan empat tahun sekali tersebut dengan menyaksikan lima pingat emas dibolot pemain kelahiran Pulau Pinang itu.