Pelumba berusia 31 tahun itu yang baru tahun pertama menyertai TSG, disahkan sebagai juara perlumbaan peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands, Pahang menerusi catatan masa 4 jam 24 minit 29 saat (s).

Kemenangan tersebut turut mengukir sejarah baharu buat pasukan benua yang berpangkalan di Terengganu sejak 2011 kerana memenangi perlumbaan peringkat buat kali pertama pada saingan terbesar di Asia berkenaan.

Lebih manis, selain memenangi saingan peringkat perlumbaan, pelumba kelahiran Rusia itu turut mengambil alih jersi kuning selaku pendahulu dengan catatan masa keseluruhan 21:21.34s

Pada masa sama, dia juga merampas jersi merah polka dot selaku raja bukit apabila mendominasi dua zon pendakian di Ringlet termasuk satu berstatus Hors Classe di Tanah Rata.

Bagaimanapun, perebutan jersi merah polka dot masih terbuka kerana kedudukan Ovechkin yang mengumpul 40 mata secara keseluruhan masih boleh dipintas oleh Alvaro Raul daripada Forca Amskins Ra­cing (FAR) yang dibezakan de­ngan 12 mata.

Saingan peringkat keenam bermula dari Tapah ke Tanjung Malim sejauh 108.5 kilometer (km) hari ini menghidangkan satu lagi zon pendakian kate­gori satu di Felda Besout yang menawarkan 15 mata.

“Saya baru dapat tahu bahawa ini adalah kali pertama TSG memenangi perlumbaan pe­ringkat sejak menyertai LTdL 2011. Malah, TSG juga muncul pasukan negara kedua berjaya menaiki podium pertama.

“Jadi, semestinya saya rasa bangga sebab kemena­ngan ini hadir di negara yang menganjurkan LTdL. Cuma saya tidak sangka dapat menghadiahkan kemenangan ini di hadapan penyokong tempatan.

“Perlumbaan masih ber­­baki tiga peringkat dan saya bertekad untuk mengekalkan jersi merah polka dot dan jersi kuning jika mampu,” kata Ovechkin.

Perlumbaan sejauh 169.4km semalam menyaksikan tempat kedua menjadi milik Benjamin Dyball daripada St. George Continental Cycling Team, manakala Amanuel Ghebreigza­bhier Werkilul (Dimension Data) di tempat ketiga, setelah masing-masing menamatkan perlumbaan kurang 28s dan 55s di belakang Ovechkin.

Sebagai rekod, TSG merupakan pasukan tempatan kedua memenangi perlumbaan pe­ringkat perlumbaan dengan kali pertama dilakukan oleh pasukan Telekom Malaysia menerusi pelumba Hong Kong, Wong Kam-po pada tahun 2000.