Suzuki, 28, berkata, misi tersebut tidak mustahil untuk dicapai seandainya semua pemain Kelantan fokus dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.

“Saya akui ia bukan satu tugas mudah. Namun, sebagai pemain saya anggap ia merupakan satu cabaran yang harus ditempuhi.

“Saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan dan berharap rakan-rakan sepasukan dapat membantu,” katanya.

Suzuki memberitahu, dia cukup teruja terpilih menyertai TRW dan ia merupakan pengalaman baharu dalam karier bola sepaknya.

Katanya, dia sedia menggunakan pengalaman beraksi di Republik Czech dan Kemboja sebelum ini untuk membantu Kelantan.

“TRW merupakan satu nama besar dan mempunyai sejarah yang cukup hebat pada saingan Liga Malaysia.

“Saya sudah tidak sabar untuk membantu Kelantan kembali menjadi pasukan digeruni musim depan,” ujarnya.

Suzuki merupakan pemain import Kelantan yang dibawa masuk bagi memperkasakan pasukan mengharungi saingan Liga Premier 2019.

Suzuki yang juga pemain versatil dan boleh beraksi di semua posisi tengah pernah menimba pengalaman selama dua musim di Kemboja bersama Phnom Penh Crown FC (2017) dan G.C National Police FC (2018).