Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Fazli Mohammad mendedahkan, pihaknya sedang ‘memancing’ tiga pemain berstatus bintang untuk dibawa masuk sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain ditutup pada 20 Februari depan.

Bagaimanapun menurut­nya, KRW terpaksa merahsiakan identiti pemain bintang yang akan dibawa masuk itu.

“Setakat ini, kita dalam peringkat perundingan untuk membawa masuk pemain berkenaan bagi memperkasakan lagi pasukan Kelantan.

“Kemasukan pemain bintang itu dijangka memberikan lebih ‘percikan’ dalam menarik semula para penyokong ke stadium,” katanya semalam.

Fazli memberitahu, bagi merealisasikan impian itu, KRW telah menyusun semula kantung kewangan TRW.

Katanya, langkah ini bertujuan untuk mengelak TRW daripada terus terpalit de­ngan masalah tunggakan gaji pada musim depan.

“Bagi mendapatkan pemain berkualiti kita memerlukan satu peruntukan yang besar.

“Namun, KRW yakin pemain-pemain ini akan memi­lih TRW berikutan akan ada penaja-penaja yang tampil menaja pasukan selepas ini,” ujarnya.

Fazli bagaimanapun tidak mahu mendedahkan soal kewangan pasukan buat masa ini kerana perkara itu merupakan salah satu kerahsiaan yang perlu dijaga olehnya.

Difahamkan, salah seorang pemain bintang yang dikaitkan untuk menyertai TRW ialah penyerang Perlis, Safee Sali.