Pasukan negara memulakan aksi ke pentas final dengan langkah bergaya apabila terlebih dahulu mengatasi pasukan Filipina yang diwakili Phoebe Nicole, Pia Elizabeth Angela dan Kareel Meer Hongitan dengan keputusan 6-2 untuk mara ke separuh akhir.

Aksi cemerlang tersebut diteruskan trio negara dengan mengatasi pasukan muda Korea Selatan, Jang Min-Hee Kim Min-Seo, Lee Gah-Yun dengan kemenangan 6 berbalas 2 untuk menempah slot ke pentas final.

Pada aksi final berdepan Australia, trio negara sekali lagi mengekal panahan konsisten sebelum mencatat kemenangan bergaya 6-2.

“Syukur kami meraih kemenangan di sini dan jelas ia bukan perlawanan mudah kerana kami terpaksa bermain penuh tekanan terutama di pentas final.

“Kami pernah meraih gangsa dua tahun lalu di sini dan kali ini kami berjaya menebus pingat emas buat negara. Saya harap dengan kemenangan ini mampu menjadi pembakar semangat kepada pasukan negara menjelang Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina nanti.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati tetapi masih banyak lagi kelemahan yang perlu kami perbaiki. Mungkin ini adalah persiapan terbaik kami dan akan terus bekerja keras untuk mendapatkan hasil lebih sempurna,” kata Nur Afisa kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, trio memanah lelaki negara dianggotai Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pasukan Korea Selatan dengan keputusan 2-6.

Pada aksi perseorangan, Khairul Anuar menambah pingat perak kedua buat negara selepas tewas 2-6 pada aksi final dengan pemanah dari Korea Selatan, Kim Pil-Joong. Seorang lagi pemanah negara, Muhammad Akmal berjaya meraih pingat gangsa selepas mengatasi pemanah dari Korea Selatan, Kim Hyeon-Jong (7-3).

Bagi acara campuran, Taiwan meraih pingat emas selepas mengatasi pasangan negara, Nur Aliya dan Khairul Anuar dengan keputusan 5-1 sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Hasil keseluruhan, pasukan recurve negara membawa pulang satu emas, tiga perak dan satu gangsa.