Fishol dan Muhammad Rafiq Ismail membuat 4,235 jatuhan pin dibezakan 109 jatuhan pin berbanding pasukan juara, Jepun.
Sebagai rekod, ia adalah pingat kedua yang diraih oleh skuad boling negara selepas pasukan trio wanita yang dibarisi Esther Cheah, Siti Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meraih pingat emas kelmarin.

Keputusan tersebut sekali gus menyamai rekod pencapaian skuad trio lelaki negara yang turut memenangi pingat perak pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Rafiq mengakui mereka bernasib baik untuk menamatkan saingan di tempat kedua meskipun diberi cabaran hebat oleh trio Singapura yang meraih pingat gangsa apabila dibezakan hanya sembilan jatuhan pin.

“Kami berjaya menamatkan saingan lebih awal berbanding pesaing-pesaing lain yang secara tidak langsung memberi tekanan berganda buat mereka. Kami sangat gembira dapat menghadiahkan pingat perak buat negara,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, Muaz turut tidak menjangka dapat menamatkan saingan di podium kerana pada pusingan pertama mereka berada di kedudukan ke-10.

“Kami bermain tanpa sebarang tekanan dan berusaha untuk memberikan yang terbaik pada setiap balingan.

“Wakil dari Singapura dan Korea Selatan berada rapat di belakang tetapi kami berjaya menguatkan mental untuk kekal konsisten sehingga ke penghujung saingan,” katanya.

Satu lagi wakil trio negara yang terdiri daripada pemain senior, Adrian Ang, Liew Kien Liang dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malik sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan keseluruhan.

Pada temasya 2014 sebelum ini skuad boling negara berjaya meraih empat pingat perak.