Trio Malaysia itu mencatat 4,235 jatuhan pin di Pusat Boling Jakabaring di sini, untuk mempertahankan pingat perak acara tersebut.

Skuad negara ketinggalan 109 mata di belakang trio Jepun - Tomoyuki Sasaki, Shogo Wada dan Shusaku Asato (4,344 jatuhan pin), yang juga juara bertahan, manakala pingat gangsa menjadi milik trio Singapura terdiri daripada Alex Chong, Darren Ong dan Muhammad Jarris Goh yang melakukan 4,226 jatuhan pin.

Shusaku turut menjadi pemain pertama mencatat 300 mata penuh jatuhan pin pada temasya sukan itu kali ini, yang menggunakan sistem pemarkahan baharu, selepas meraih mata penuh pada permainan ketiga.

Sementara itu, satu lagi trio negara dibarisi Adrian Ang Hsien Loong, Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Alex Liew gagal meneruskan rentak cemerlang menduduki tempat kedua pada blok pertama, apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan 4,147 jatuhan pin.

Malaysia hanya sekali memenangi pingat emas acara itu menerusi Daniel Lim, Ben Heng dan Aaron Kong pada edisi 2006 di Doha, manakala pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, trio negara yang terdiri daripada Syafiq, Timmy Tan dan Zulmazran Zulkifli meraih perak.

Pencapaian hari ini adalah pingat kedua daripada kem boling negara pada Sukan Asia 2018, selepas trio wanita, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, beraksi cemerlang untuk menamatkan kemarau 24 tahun tanpa kilauan emas dalam acara itu, pada hari pertama, semalam. - Bernama