Skuad kendalian Dollah Salleh yang tampil dengan empat tenaga import baharu itu ternyata bersemangat untuk menjadikan skuad Warga Kota itu sebagai mangsa pertama musim ini meskipun sedar mereka bakal mengharungi tentangan sengit tuan rumah yang beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Pengurusnya, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, biarpun memulakan saingan Liga Super 2019 ini di gelanggang lawan, namun semua pemain pasukan Tok Gajah tetap bersedia untuk berjuang bermati-matian bagi mengutip tiga mata penting sebagai pembakar semangat memulakan kempen baharu ini.

“Biarpun perlawanan pertama kami di tempat lawan, namun kami tidak gentar untuk me­nembusi pertahanan tuan rumah bagi mendapatkan jaringan malam esok (hari ini).

“Penyokong setia Tok Gajah juga pastinya akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kerana mahu melihat penampilan sulung dua penyerang import kami, Dickson Nwakaeme dan Ze Love,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih, Dollah Salleh memberitahu, semua pemainnya akan mendapat peluang sama rata untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

“Gandingan orang lama dan baharu dalam skuad Tok Gajah musim ini sudah pasti menjanjikan aksi yang lebih mantap untuk memburu kemenangan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua pemain yang akan beraksi menentang Kuala Lumpur perlu mempamerkan aksi terbaik dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah terutama di hadapan pintu gol sendiri.

“Kita harap semua pemain dalam skuad ini sudah serasi antara satu sama lain dan mampu bekerjasama dalam pasukan,” jelasnya lagi.