Kempen sokongan melalui platform digital itu dinamakan Hokita (Hoki Kita) bagi mengajak rakyat Malaysia mengikuti perkembangan pasukan negara yang merupakan antara 16 pasukan layak ke Piala Dunia.

Para peminat hoki boleh mengikuti kempen 19 hari Piala Dunia itu melalui platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan laman web mikro, https://hokita.my.

Sementara itu, Facebook.com/HokitaMY akan memaparkan berita ringkas, keputusan perlawanan, galeri foto dan hab video penuh, manakala twitter.com/HokitaMY pula membawakan maklumat terkini, be­rita muktahir, klip pendek serta video teaser.

Selain itu, instagram.com/HokitaMY pula akan menawarkan pelbagai video klip dan cerita hoki.

Para peminat hoki turut berpeluang mengikuti temu bual dengan pemain, komen para pengurus dan jurulatih serta penonton di Bhubaneswar, malah boleh memberi ulasan, pandangan serta menyatakan sokongan masing-masing.

“Ini adalah antara cara kita memberikan sokongan kepada pasukan negara. Kita ingin memberitahu pemain dan keluarga mereka bahawa rakyat Malaysia sentiasa di belakang mereka.

“Kita pernah muncul antara empat pasukan terbaik dunia dan pasukan kita sentiasa berada dalam kelompok 15 pasukan terbaik dunia. Pasukan ini perlukan sokongan rakyat negara ini seperti dinikmati sukan lain,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

Pasukan negara yang diperkuatkan oleh sembilan pemain daripada TNB berada dalam Kumpulan D yang dianggap ‘maut’ melibatkan Belanda dan Jerman yang masing-ma­sing di ranking keempat dan keenam dunia, manakala Pakis­tan di kedudukan ke-13.

TNB berharap dapat memeriahkan arena hoki tanah air yang sering terpinggir sedangkan pasukan kebangsaan sentiasa setanding dengan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.

Sesungguhnya, pasukan hoki negara berhak mendapat soko­ngan rakyat Malaysia dengan semangat juang melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kelapan melalui pencapaian empat pasukan terbaik di Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

TNB sentiasa sinonim dengan pembangunan sukan hoki negara sejak era 70-an.

Sumbangan TNB antara lain adalah mengasah bakat pemain di peringkat sekolah dan remaja serta menaja program hoki kebangsaan melalui penajaan RM20 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk tempoh lima tahun berakhir 2019.