Gandingan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino mengucar kacirkan barisan pertahanan pasukan pelawat apabila gawang West Ham mula dirobek kurang 20 minit perlawanan bermula.

Dalam aksi tersebut, skuad kendalian Jurgen Klopp berjaya membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi Salah yang bijak memanfaatkan hantaran lintang rendah Andy Robertson dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski.

Jaringan tersebut melonjakkan semangat The Reds yang menggandakan jaringan menerusi sentuhan Mane selepas pemain skuad Senegal tersebut bijak memanfaatkan hantaran James Milner sebelum pe­ngadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, lorongan cantik Firmino ternyata membuahkan hasil buat Mane untuk menambah ja­ringan kedua peribadi apabila rembatan kencang kaki kanannya menewaskan Fabianski pada minit ke-53.

Percaturan Klopp dengan memasukkan Daniel Sturridge untuk menggantikan Salah ternyata berhasil apabila pemain berusia 28 tahun itu hanya mengambil masa 20 saat untuk melengkapkan kemenangan Liverpool di halaman sendiri pada minit ke-87.

Meskipun tewas, anak-anak buah Manuel Pellegrini tetap mencipta beberapa peluang untuk menghasilkan gol, namun percubaan penyerangnya, Marko Arnautovic yang agak lemah belum cukup untuk menewaskan penjaga gol Liverpool, Allison Becker yang tampil cemerlang dalam debut pertamanya di Anfield.

Keghairahan Liverpool musim ini terserlah apabila mereka telah berbelanja besar sebanyak £166.8 juta (RM870.05 juta) untuk mendapatkan empat pemain bagi memperkukuhkan pasukan yang diramal bakal menjadi pencabar kejuaraan EPL musim ini. – Agensi