Subahan mendedahkan, ke­tua jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans akan menyenaraikan barisan 18 terbaik yang akan menggalas cabaran ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada November depan menghadapi persediaan terakhir tersebut.

Justeru, Subahan berharap pemain-pemain terpilih dapat menampilkan prestasi lebih membanggakan berbanding persembahan hambar yang menyaksikan skuad negara tewas semua perlawanan pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

“Jurulatih (Roelant Oltmans) memberitahu bahawa beliau akan membawa skuad muktamad ke Korea Selatan. Ia bermakna pemain-pemain yang sama juga akan menggalas tanggungjawab negara pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti.

“Walaupun ia cuma aksi persahabatan di Korea Selatan tetapi saya mahu para pemain memanfaatkannya dengan meraih keputusan yang memihak kepada kita. Jangan masih lagi kalah dan beri alasan, saya tak mahu dengar lagi.

“Sekarang terpulang kepada para pemain sama ada mahu layak atau tidak. Jangan salahkan sesiapa kalau ada pemain yang tidak disenaraikan. Walaupun saya risau tetapi saya masih mempunyai keyakinan dengan barisan pemain,” kata ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam masa sama, Subahan mendedahkan, Oltmans sudah mempunyai gambaran pemain-pemain yang akan dipilihnya melengkapkan barisan 18 terbaik ke Korea Selatan dan seterusnya pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Skuad negara mengharungi jadual padat dalam persediaan ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang menyaksikan 12 pemain terpaksa me­nempuh sembilan aksi di Eropah sebelum bermain lagi empat perlawanan di Tokyo.

Aspek keletihan dan tahap kecergasan antara faktor utama yang dilihat sebagai punca kemerosotan prestasi Malaysian Tigers di Tokyo berban­ding penampilan bertenaga dipamerkan menentang gergasi-gergasi dunia di Eropah.