Mereka bukan sahaja wajib mencatat kemenangan ke atas pasukan ranking ke-24 dunia itu tetapi perlu mempamerkan pres­tasi yang membanggakan seluruh peminat sukan hoki tanah air.

Ia ekoran tewas mengejut 2-4 kepada negara ranking terendah kejohanan iaitu Itali, No. 32 dunia, sekali gus terlepas peluang slot automatik ke separuh akhir dan terpaksa mengharungi pu­singan crossover.

Ketua jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans terkejut dan tidak dapat menerima kekalahan perit tersebut memandangkan skuad bimbingannya merupakan pasukan pilihan dengan status selaku pasukan ranking kedua kejohanan serta No. 13 dunia.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa melihat kepada persembahan ditampilkan. Mereka bermain di bawah tahap sebenar.

“Kami kalah tetapi mujur belum tersingkir. Pemain mempunyai tempoh 48 jam untuk kembali menunjukkan kualiti sebenar mereka menentang Wales pada Rabu (malam ini).

“Kami perlu menerima hakikat dan bangkit mengubah situasi buruk ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat aksi menentang Itali di Stadium Hoki Nasional kelmarin.

Wales pernah kalah 0-2 kepada skuad negara dalam aksi pemanas badan sebelum kejohanan bermula.

Bagaimanapun, ia tidak boleh lagi dijadikan ukuran kerana Itali berjaya membuktikannya kelmarin.

Justeru, barisan pemain perlu bangkit menewaskan Wales malam ini untuk menempah pertemuan menentang juara Kumpulan A, Austria di pentas separuh akhir pada Jumaat ini.