Perkara tersebut diakui oleh ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee yang melihat momentum kejayaan me­raih tiga mata setelah menewaskan Kyrgyzstan 3-1 pada aksi pertama kelmarin wajar diteruskan.

Menurut Kim Swee, dua aspek taktikal yang akan ditekankan kepada pemainnya yang mana corak permainan serangan balas pantas perlu dikekalkan selain turut memberi tumpuan berganda dalam memastikan gawang negara tidak dibolosi.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Korea Selatan berada di tahap yang berbeza kerana semua 20 pemain yang mereka bawa ke temasya kali ini memiliki kualiti seimbang.

“Meskipun mereka turut mempunyai pemain hebat seperti Son Hyeun-Min, saya enggan terlalu memberi penekanan dalam mengawal individu khususnya selepas melihat aksi mereka menang besar ke atas Bahrain kelmarin.

“Bagaimanapun, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak tetapi saya akui akan mengubah sedikit taktikal di bahagian pertahanan selain mengekalkan corak serangan pantas yang berjaya kami lakukan pada perlawanan pertama,” kata Kim Swee ketika ditemui pemberita di Bandung semalam.

Mengulas lanjut, Kim Swee mengesahkan kemungkinan bakal merombak kesebelasan utama selepas tonggak pertahanan, Dominic Tan dan penyerang, Akhyar Rashid mengalami kecederaan ringan.

“Saya akan meneliti terlebih dahulu tahap kecergasan mereka sehingga ke saat terakhir dan enggan mengambil sebarang risiko. Jika cergas, mereka akan diturunkan tetapi andai sebaliknya berlaku, masih ada pemain yang sentiasa bersedia untuk diturunkan.

“Apa yang penting, pemain perlu kekal fokus kerana mereka perlu sedar bahawa satu mata dijangka sudah cukup untuk membawa pasukan ke pusingan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, penyerang muda negara, Safawi Rasid yang berjaya meledak satu gol ketika aksi menentang Kyrgyzstan percaya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu meraih keputusan positif ketika bertemu jaguh Asia Timur itu.

“Kami gembira dengan kejayaan meraih tiga mata tetapi ia masih belum mengesahkan kelayakan kami ke pusingan seterusnya. Masih banyak kelemahan yang boleh diperbaiki termasuk penyudah peribadi yang saya perlu diperkemaskan,” kata penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.