Demikian tegas ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (Petronas SRT), Datuk Razlan Razali selepas memberi amaran tegas kepada pelumba tunggal negara itu agar terus ber­usaha mempamerkan aksi terbaik dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Razlan menjadi individu penting lonjakan karier Hafizh Syahrin Abdullah selepas membawa masuk pelumba berusia 24 tahun itu menyertai pasukan Tech3 musim lalu dan kini adalah tahun keduanya dalam kancah perlumbaan MotoGP.

Hafizh yang beraksi cemerlang ketika mengemudi jentera Yamaha YZR-M1 musim lalu dilihat berdepan tekanan hebat untuk me­nemui rentak terbaik ketika me­nunggang jentera KTM RC16 selepas Tech3 memutuskan untuk menggunakan jentera buatan Austria itu musim ini.

Tambah Razlan, sekiranya Hafizh gagal mengekalkan aksi terbaik bersama pasukan Tech3 kemungkinan peluang­nya untuk kekal di saingan MotoGP akan kelam dan Pe­tronas SRT bukan pilihan terbaik buat Hafizh memandangkan Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo mempunyai kontrak sehingga musim 2020.

“Kalau Hafizh tak sedar apa yang berlaku selepas pusingan pertama di Qatar, mungkin dia berdepan masalah. Saya pernah memberi nasihat kepada dia agar tidak memikirkan hanya perlumbaan musim ini sahaja, malah dia perlu fikir untuk kekal lebih lama dalam MotoGP.

“Bagi saya, Hafizh perlu berhenti memberi alasan mengenai masalah jentera dan tidak perlu bandingkan Yamaha de­ngan KTM. Dia perlu beri perhatian 200 peratus kepada kerjanya dalam MotoGP dan kena bekerja keras. Itu sahaja yang dia kena fikirkan ketika ini.

“Saya tidak mahu hujung tahun nanti ada yang suruh ambil dia musim depan jika tidak lagi bersama Tech3. Kita mempunyai kontrak dengan pelumba lain dua tahun, jadi tidak ada tempat untuk Hafizh tahun depan. Saya tidak mahu dia fikir jalan selamat dengan menyertai Petronas. Musim ini Hafizh kena kerja lebih keras dan rajin buat latihan supaya kesilapan sama tidak berulang,” katanya kepada pemberita di Bangsar semalam.

Razlan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut menjelaskan sasaran yang di­letakkan pasukan Red Bull KTM Tech3 dalam perlumbaan MotoGP hanya perlu mengatasi rakan sepasukannya Miguel Oliveira atau dua pelumba KTM yang lain iaitu Johann Zarco atau Pol Espargaro.

“Itulah sasaran yang telah ditetapkan oleh Tech3 kepada Hafizh dan jadi sekarang bergantung kepada dia. Dia kena fikir dan kerja keras. Saya masih menolongnya dari segi latihan dengan ISN dan apa yang saya lihat, dia berlatih dengan kuat,” ujarnya.

Untuk rekod, Hafizh menamatkan saingan di tempat tercorot di Grand Prix (GP) Qatar ­de­ngan catatan 43 minit 20.144 saat, manakala rakan sepasukan­nya Miguel Oliveira dari ­Portugal berada di kedu­dukan ke-17 selepas menca­tat 42:53.279s pada perlumbaan di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar,
itu.