Bekas juara dunia itu berkata pada penampilannya kali ini bukan atas tiket individu tetapi berpasukan apabila melihat prestasi rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom lebih baik berbanding dirinya ketika ini.

Beliau berkata sekiranya kedua-dua mereka layak ke final pada temasya itu, beliau bersedia memberi laluan kepada kepada Muhammad Shah untuk meraih pingat buat kontinjen negara.

"Kami memang berharap untuk pulang dengan pingat tanpa mengira warna," katanya pada sidang media mengenai persediaan atlet program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Azizulhasni, pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014, berkata beliau tidak akan mensia-siakan peluang dan akan menggunakan pengalaman serta skil yang ada untuk berjuang habis-habisan di Gold Coast.

Beliau, yang berlatih di Melbourne lebih 10 tahun itu, berkata beraksi di Gold Coast juga ibarat berlumba di laman sendiri dan beliau turut teruja untuk mempamerkan kayuhan terbaik di hadapan penyokongnya di sana.

"Pada  latihan dalam minggu  ini, saya lihat corak kayuhan semakin bagus walaupun tidak setara dengan prestasi saya ketika Kejohanan Trek Berbasikal Asia baru-baru  ini.

"Acara keirin ini tidak  bergantung pada prestasi sahaja tetapi faktor lain seperti pengalaman, skil, taktik kayuhan serta elemen nasib  juga mempengaruhi pada hari perlumbaan.

Jurulatih (John Beasley) percaya  saya boleh kawal tekanan itu dan pengalaman saya boleh menutupi defisit 30 peratus kekurangan prestasi saya ketika ini," katanya. - Bernama