Jelasnya, tiga mata yang diinginkan perlu digalas oleh semua pemain meskipun sentuhan importnya, Patrick Ronaldinho Wleh makin menjadi kebelakangan ini bersama skuad The Cops.

Pada masa sama, Kamarul enggan memikirkan akan kekalahan 2-3 ketika berdepan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) sebelum ini di pusingan ketiga Piala FA dalam misi merampas tiga mata apabila bertemu TFC II.

“Saya tidak mahu memikirkan kekalahan kepada PKNP FC kerana mereka berada di tahap atau liga yang lebih tinggi daripada PDRM FA, tetapi saya tetap berbangga dengan pasukan kerana telah memberikan tentangan sehingga saat-saat akhir perlawanan. Apa pun ia memberikan motivasi kepada pasukan untuk bertemu dengan TFC II esok.

“Jadi rentak seumpama ini perlu dipertingkatkan dan saya percaya jika pemain mengikuti segala perancangan diterapkan, tiga mata mampu diraih.

“Kali ini semua pemain perlu memiliki tanggungjawab masing-masing di atas padang untuk merampas tiga mata di laman sendiri meskipun Ronaldinho sentiasa menjadi ancaman buat pasukan lawan kebelakangan ini.

“Usaha menjaringkan gol dan memburu kemenangan bukanlah terletak di bahu Ronaldinho sahaja tetapi semua pemain perlu memberikan komitmen dan menjaringkan gol,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Selepas berakhirnya lapan perlawanan, PDRM FA kini menghuni tangga ke-10 liga selepas mengutip lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan lima kekalahan. - K! ONLINE