Jelasnya beliau lebih mengutamakan jendela perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada 2 Mei depan ekoran perancangannya sebelum ini ingin menukar enam pemain PDRM FA.

“Jika diberikan pilihan antara sekatan perpindahan pemain atau pemotongan geran tahunan, saya lebih mengutamakan jendela perpindahan pemain kedua nanti.

“Kami lebih mementingkan perkara tersebut untuk memperbaiki serta memantapkan skuad The Cops pada baki saingan Liga Premier selepas ini.

“Pada masa ini PDRM FA tidak mempunyai sebarang masalah terhadap bayaran gaji pemain.

“Sementara geran yang akan diperolehi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas ini hanyalah untuk membayar lebihan hutang terdahulu,” katanya sebentar tadi.

PDRM FA merupakan salah satu daripada tujuh pasukan yang dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018 namun tetap bersedia untuk mengemukakan rayuan kepada MFL.

“Segala dokumen yang diperlukan MFL telahpun siap kami sediakan dan PDRM FA akan kemukakan semuanya kepada badan pengendali Liga Malaysia esok.

“Apa pun semua keputusan yang telah MFL umumkan sememangnya tepat dan kesalahan PDRM FA sekarang adalah disebabkan pengurusan terdahulu,” jelasnya. - K! ONLINE