Kapten Perak, Mohd. Nasir Basharuddin (gambar kecil) berkata, perkara tersebut sesekali tidak akan melemahkan sema­ngat perjuangan pasukan untuk terus memburu tiga mata lebih-lebih lagi moral pemain The Bos Gaurus kini berada dalam keadaan memuncak selepas menewaskan Kedah 3-1 pada perlawanan sebelum ini.

“Saya harap persembahan para pemain tidak terjejas dengan hukuman bermain tanpa penyokong esok (malam ini) dan tetap fokus untuk memenangi setiap perlawanan di gelanggang sendiri.

“Ia merupakan salah satu daripada sasaran kita pada tahun ini iaitu memenangi semua perlawanan di gelanggang sendiri selain mencuri sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, amat pen­ting buat Perak untuk mengekalkan persembahan terbaik di atas padang dengan mendapatkan kemenangan pada setiap perlawanan bagi menaikkan lagi semangat juang dan moral para pemain.

Perak berdepan hukuman bermain tanpa penyokong oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pasukan tersebut gagal mengawal keselamatan penyokong pada perlawanan Piala Malaysia peringkat separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Perak, Ipoh pada 15 Oktober tahun lalu.

Tambah Nasir, jurulatih Mehmet Durakovic kemungkinan menurunkan kesebelasan pemain sama ketika menentang Kedah dalam perlawanan esok bagi mengekalkan keserasian dan momentum yang sedang meningkat naik ketika ini.