Skuad The Bos Gaurus bakal berdepan jadual yang padat pada musim ini apabila mengharungi aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC di laman sendiri pada 12 Februari depan.

Sebelum itu, skuad bimbi­ngan Mehmet Durakovic turut dijadual bertemu dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu ini dan kemudian bertemu pasukan Kedah di Stadium Perak pada 8 Februari.

“Semangat rakan-rakan sepasukan kini berada pada tahap yang positif dan kami tidak sabar lagi untuk mengharungi saingan musim baharu dengan pertemuan menentang JDT sempena aksi Piala Sumbangsih.

“Lebih menarik, kami juga akan mencatat sejarah tersendiri apabila bersaing dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang Kichee SC yang akan memberi pengalaman istimewa buat penyokong kami.

“Justeru, kami semua tidak sabar untuk mengharungi saingan kelayakan tersebut dengan beraksi di laman sendiri. Tetapi buat masa ini kami mahu fokus pada dua perlawanan Liga Malaysia terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pemain Harimau Malaya itu turut mengakui jangkaan penyokong setia The Bos Gaurus pada musim ini pastinya lebih tinggi setelah cabaran dalam perebutan tiga trofi utama dilihat lebih sengit berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun lepas menjadi tahun yang cukup baik buat pasukan Perak dengan menamatkan penantian trofi Piala Malaysia dan saya harap tahun ini kami dapat meraih lebih banyak kejayaan.

“Cuma, cabaran musim ini pastinya lebih sengit kerana kerana pasukan-pasukan seperti JDT, Pahang, Selangor serta Terengganu FC I (TFC I) dijangka menjadi pencabar utama dalam misi perebutan trofi,” kata pemain berusia 26 tahun itu.