The Blues sebelum ini mengalami kekalahan pertama dalam saingan EPL selepas dimalukan kelab musuh setempat, Tottenham Hotspur 1-3 di hadapan penyokong sendiri minggu lalu.

Namun, mereka bangkit dengan kemenangan 4-0 ke atas PAOK dalam kempen Liga Europa, Khamis lalu sekali gus menyuntik kembali semangat pemainnya untuk menebus kehampaan penyokong mereka dalam kempen EPL malam tadi.

Menerusi ­kemenangan itu, Chelsea berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan terbaik serta mencabar dua pasukan teratas liga, Manchester City dan Liverpool yang masih belum tewas setakat ini bagi saingan EPL.

Malah, kejayaan ini juga pastinya memberi sedikit kelegaan buat pengendalinya Maurizio Sarri yang membuka semula peluangnya memburu gela­ran pertama di England selepas dilantik sebagai pengurus awal musim ini.

Pada aksi semalam, Chelsea tidak me­nunggu lama apabila hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jari­ngan menerusi pemain sayap, Pedro Rodriguez selepas menerima hantaran N’Golo Kante yang melakukan larian dari tengah padang.

Bersambung separuh masa kedua, pa­sukan pelawat terus berusaha mencari gol penyamaan, bagaimanapun tandukan pemain pertahanan, Callum Chambers pada minit ke-54 diselamatkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea sekali lagi hampir menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-73 tetapi Alvaro Morata yang masuk menggantikan Giroud mensia-siakan peluang keemasan apabila menyepak tinggi bola tampanan Rico.

Gol kedua yang dicari-cari pasukan tuan rumah akhirnya hadir ketika perlawanan berbaki lapan minit untuk ditamatkan selepas pemain gantian, Ruben Loftus-Cheek tenang menyempurnakan hantaran menarik dilakukan Eden Hazard. – Agensi