Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, dia telah menemui strategi tepat untuk menewaskan Felcra FC pada aksi keempat Kumpulan A sekali gus mencerahkan harapan skuad Penyu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

“Walaupun sedikit kecewa diikat 2-2 oleh Felcra FC di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu minggu lalu, hikmahnya saya sudah dapat membaca rentak permainan kelab yang beraksi pada sai­ngan Liga Premier tersebut.

“Sehubungan itu, saya telah mengatur strategi ampuh bagi memerangkap skuad The Rivals pada aksi penting esok (malam ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, beliau juga lega dengan kehadiran semula pemain tengah TFC I, Lee Tuck pada aksi esok selepas bebas daripada penggantungan.

Katanya, peranan Lee Tuck yang merupakan perancang utama pasukan amat penting untuk menggerakkan barisan tengah TFC I.

“Ketiadaan Lee Tuck pada aksi dengan Felcra FC minggu lalu memang dirasai dan kehadirannya semula pasti memberi kelebihan kepada TFC I untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

“Aksi ini penting kerana walaupun TFC I berada di kedudukan teratas dalam Kumpulan A dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, tiga pasukan lain iaitu Perak, Kuala Lumpur dan Felcra FC masih berpeluang untuk memintas sekali gus mara ke pusingan seterusnya,” katanya.