Sebagai rekod, skuad negara perlu mara ke pentas separuh akhir sekiranya mahu melayakkan diri secara merit tetapi keputusan semalam menyaksikan skuad negara terpaksa menggunakan ‘pintu belakang’.

Pasukan badminton wa­nita negara kini menduduki ran­king kelapan Asia serta kesembilan dunia sekali gus membolehkan mereka me­langkah ke pentas akhir Piala Uber 2018 di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock mengesahkan perkara tersebut tetapi ia tetap tidak boleh menu­tup kekecewaan selepas menyaksikan barisan pemain­nya tewas kepada Korea Selatan.

“Meskipun kami sudah tahu bahawa pasukan bakal melayakkan diri ke pentas Piala Uber berdasarkan ranking, tetapi saya pasti lebih gembira jika pasukan dapat pergi secara merit.

“Selain itu, saya juga kurang berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain khususnya dalam acara perseorangan. Saya harap persembahan mereka dapat diperbaiki kerana kami hanya ada baki tiga bulan untuk me­lakukan persiapan.

“Apa yang pasti, kedudukan keempat-empat perseorangan yang kami bawa pada kejohanan kali ini masih belum selamat dan mereka perlu buktikan aksi konsisten pada beberapa kejohanan yang bakal disertai pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita semalam.

Pada perlawanan tersebut, perseorangan pertama negara, Sonia Cheah tewas 13-21, 10-21 kepada Sung Ji Hyun dalam tempoh 37 minit diikuti kekalahan pasangan beregu negara, Vivian Hoo-Tee Jing Yee de­ngan keputusan 10-21, 15-21 kepada wakil Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

Perseorangan kedua negara, Goh Jin Wei pula ditewaskan menerusi rubber set 21-17, 11-21, 13-21 kepada Lee Jang Mi untuk memberikan keputusan 0-3 kepada pasukan lawan.

Selain Malaysia, antara negara yang sudah mengesahkan slot automatik ke Piala Uber adalah Indonesia, China, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Thailand selaku pasukan tuan rumah.