Para peminat mula berteka-teki sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pimpinan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu melantik jurulatih tempatan atau pengendali asing.

Di sebalik pelbagai spekulasi itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berharap para peminat bola sepak tempatan bersabar dan tidak terburu-buru menanti keputusan Tunku Ismail berhubung pelantikan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

“Jurulatih tempatan atau import, Tunku Presiden (Tunku Ismail) akan tentukan. Bagi sedikit masa kepada Tunku Ismail untuk memikirkan perkara ini dan Tunku Presiden akan umumkan pada masa yang sesuai nanti (pengganti Vingada),” katanya.

Sebelum Vingada, skuad negara dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee.

Vingada, 64, yang merupakan jurulatih dari Portugal seperti dijangka melepaskan jawatan yang disandang sejak Mei lalu setelah gagal membantu skuad negara meraih sebarang kemenangan daripada tujuh perlawanan 
di pentas antarabangsa.

Ketika di bawah bimbingan Vingada, skuad kebangsaan mencatat kedudukan paling 
buruk dalam sejarah apabila menghuni ranking ke-174 dunia 
bulan lalu.