Aksi kebangkitan yang dipamerkan oleh skuad negara selepas dua kali ketinggalan serta impian melangkah ke perlawanan akhir hampir dimusnahkan oleh penggempur utama skuad Gajah Perang, Adisak Kraisorn pada penghujung perlawanan.

Penyerang Muangthong United itu ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti yang diberikan pada penghujung perlawanan selepas bola terkena tangan pemain pertahanan negara, Syahmi Safari di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Adisak gagal melunaskan harapan hampir 45,000 penyokong Thailand yang membanjiri Stadium Rajamangala apabila rembatannya melambung tinggi melepasi palang sekali gus menyaksikan skuad negara mengesahkan kemaraan apabila keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui keputusan tersebut sangat istimewa buat seluruh pasukan dan peminat Malaysia.

“Keputusan malam ini pastinya akan diingati sampai bila-bila kerana ia berlangsung dengan penuh dramatik.

“Saya lihat pemain menunjukkan disiplin taktikal yang sangat baik dan ia adalah keputusan yang sangat menakjubkan,” katanya.

Lebih manis, keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya menamatkan badi kekalahan di bumi Thailand ketika berdepan skuad Gajah Perang dalam enam pertemuan sejak 22 tahun yang lalu pada kempen yang sama.

Selain itu, dua jaringan skuad negara menerusi Syahmi dan Norshahrul Idlan Talaha juga menamatkan penantian selama 18 tahun selepas kali terakhir Malaysia meledak gol di negara tersebut pada tahun 2000 ketika tewas 2-3 pada saingan Kelayakan Piala Asia.