Juara empat kali Liga Super, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertandang ke Kuala Terengganu untuk menentang pendatang baharu, Terengganu FC I (TFC I).

Terkenal dengan jolokan skuad Penyu, pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sudah pasti tidak mahu kecewa lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada perlawanan yang bermula pada pukul 9 malam.

“Kita menghormati JDT tetapi tidak takut dengan mereka. Saya pesan kepada pemain supaya mengekalkan karakter masing-masing dan corak permainan seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

JDT yang dibimbing sementara oleh Raul Longhi ketika ini menerajui Liga Super dengan sembilan mata, dibezakan satu mata dengan TFC I yang menghuni tangga kedua.