Kata Djokovic, Pouille memiliki kelebihan tersendiri dan walaupun hanya diletakkan sebagai pilihan ke-28 pada kejohanan ini, kualiti pemainnanya sama seperti kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Susulan itu, Djokovic percaya dia perlu berwaspada memandangkan belum pernah bersaing secara kompetitif dalam mana-mana kejohanan dengan pemain berusia 25 tahun kelahiran Perancis itu.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan Pouille yang boleh dianggap pemain sedang meningkat naik dan apa yang dilakukannya pada kejohanan Terbuka Australia kali ini sangat luar biasa.

“Dia telah buktikan bahawa dia boleh bermain di tahap tertinggi dengan menyingkirkan beberapa nama besar seperti Dominic Thiem, Borna Coric dan Milos Raonic sebelum ini.

“Apa yang pasti, saya agak terkejut kerana kami masih belum pernah bertemu pada mana-mana kejohanan dan ia adalah petanda bahawa saya perlu berjaga-jaga pada aksi separuh akhir esok (hari ini),” katanya.

Djokovic merupakan pemenang Grand Slam sebanyak 14 kali termasuk pernah bergelar juara Terbuka Australia enam kali pada edisi 2008, 2011, 2012, 2013, 2015, dan 2016. - Agensi